You are here
Home > Don't Miss > Catatan Kembara Jerman

Catatan Kembara Jerman

3 faktor utama kenapa anda perlu backpack ke Jerman dalam masa yang terdekat; kemudahan pengangkutan awam, lanskap bandar yang teratur dan budaya masyarakat yang produktif.  Di sini saya akan menceritakan pengalaman dan bajet murah semasa di Frankfurt, Cologne dan Berlin, Jerman.

 

Frankfurt

Perjalanan saya ke Jerman bermula dengan Frankfurt am Main, merupakan salah satu bandar hab kewangan dunia dan terletaknya Pusat Bank Eropah. Tidak pelik jika panorama di Frankfurt agak berbeza dengan bandar Jerman lain kerana dipenuhi dengan pencakar langit moden seperti di bandar metropolis di negara Asia dan Arab Teluk. Saya bertolak ke Frankfurt dari Istanbul dengan penerbangan tambang murah Turki, Pegasus Airlines, serendah €50 dari lapangan terbang Istanbul Sabiha Gökçen. Setibanya di lapangan terbang Frankfurt, saya menaiki S-Bahn (Kereta Api Jerman) untuk ke pusat bandar dengan tiket berharga €4.60 mengambil masa kira-kira 15 minit untuk sampai ke Frankfurt Hauptbahnhof (Stesen Kereta Api Utama), mudah untuk transit ke Bahn lain. Sebutan dan tulisan bahasa Jerman amat mengelirukan ditambah pula dengan peta pengangkutan awam yang kompleks, jadi saya sarankan anda untuk membuat sedikit kajian tentang stesen Bahn mana yang perlu anda turun. Tiket Bahn mereka diperbuat daripada kertas dan kecil, jadi perlu disimpan rapi sebelum didenda €60!

Di Frankfurt Hauptbahnhof (Stesen Kereta Api Utama)

Oleh kerana mata wang Euro yang mahal, saya tinggal di Hostel yang bernama DJH Jugendherberge Frankfurt berhadapan dengan The Main River, ianya murah, €20 semalam untuk bilik dormitori, layanan memuaskan dan bersih. Pemandangan yang sangat cantik dari bangunan Hostel dan suasana seperti di kolej barat di waktu pagi di mana ramai orang muda yang beratur untuk mendapatkan roti, sup, buah dan nutella dalam tray sangat menyeronokkan.

Pemandangan The Main River dari Hostel DJH Jugendherberge Frankfurt.

Saya di Frankfurt hanya selama 2 hari, jadi, tempat wajib untuk dilawati dalam masa singkat ialah seperti Römer buat sesiapa yang suka untuk cuci mata, bershopping, meneroka bars dan restoren, Cathedral Church dan seni bina bangunan di zaman pertengahan. Selain itu, jika anda mempunyai bajet lebih, bolehlah melawat Art City: The Frankfurt Museum, Goethe-House & Gallery dan Main Tower. Antara makanan signature dan popular di Frankfrut ialah sosej Frankfurter dan Apple Wine (tanpa alkohol juga ada). Hampir setiap sudut bangunan anda boleh jumpa makanan macam tu!

 

Köln / Cologne

Saya lebih gemar membuat tempahan pengangkutan dan penginapan 2-3 minggu lebih awal, bukan sahaja untuk mengelakkan keserabutan, tetapi juga untuk dapatkan harga yang lebih murah! Saya menaiki Megabus dari Stesen Bas Frankfurt bersebelahan dengan Stesen Kereta Api Utama Frankfurt hanya dengan tambang €4 untuk perjalanan ke lapangan terbang Cologne Bonn yang memakan masa 1 jam. Megabus merupakan syarikat bas kegemaran saya di Amerika Syarikat dan Eropah, kerana mereka tepati masa, ada on-bus WIFI, plug-in radio dan pengurusan sistematik.

Saya berada di Cologne selama 5 hari, jadi lebih jimat jika anda beli KölnCard berharga €18 yang memberikan akses menaiki semua jenis pengangkutan awam di Cologne selama 24 jam atau 48 jam terpulang kepada pakej yang anda mahu. Dari lapangan terbang Cologne Bonn, anda boleh transit ke Köln Hauptbahnhof (Stesen Kereta Api Utama) dan dari situ anda boleh transit ke destinasi yang dikehendaki.

Untuk penginapan di Cologne, saya menggunakan perkhidmatan melalui aplikasi couchsurfing bersama dengan kenalan dan Host saya berbangsa Turki-Jerman yang pernah menggunakan perkhidmatan couchsurfing saya sewaktu Kuala Lumpur. Di entri lain, saya akan menerangkan lebih lanjut tentang aplikasi couchsurfing ini. Apa pun, selain tiada cas servis dikenakan, saya sangat gembira kerana dapat berinteraksi dan hidup dalam budaya masyarakat tempatan bukannya sebagai seorang tourist.

Canan dan Yulcen, dua daripada kanan, host yang pemurah dan baik hati.

Terlalu banyak tempat menarik di Cologne sepanjang bersama dengan Host saya di bandar Jerman yang paling kaya dengan seni dan budaya ini. Melalui pemerhatian saya, ramai sekali rakyat yang berbangsa Turki di Cologne oleh kerana pengambilan pekerja buruh dari Turki selepas perang dunia ke-2 yang memaksa mereka berhijrah. Pengaruh mereka telah sebati dalam makanan, budaya sekelompok masyarakat, aktvisme dan pendidikan. Antara tempat yang wajib dilawati dengan percuma ialah, Cologne Cathedral atau Kölner Dom, Cologne Old Town, Hohenzollern Bridge, Schokoladen Museum, Flora and Botanical Garden dan Hahnen Gate.

Cologne Cathedral atau Kölner Dom di hadapan Köln Hauptbahnhof

 

Hohenzollern Bridge di mana anda boleh mengunci cinta anda di “Love Locks Bridge” ini.

 

Pemandangan di Cologne pada waktu malam dilimpahi cahaya lampu amat menakjubkan.

Fusion makanan Jerman dan Turki seperti Döner kebab berintikan daging salai berjus dan salad segar membuatkan saya mahu untuk tinggal terus di Cologne. Selain itu, anda juga perlu mencuba Himmel un Ääd yang merupakan campuran epal dan kentang manis dihidang dengan sosej. Makanan ini sesuai dihidangkan ketika anda meluangkan masa bersama rakan-rakan berlatarbelakangkan nightlife yang aktif di hujung minggu terutamanya di Brauhause. Sewaktu di Cologne juga, saya berkesempatan untuk menghadiri Kölner Karneval di hujung Februari di mana rakyat Jerman dan luar negara hadir merayakan karnival tahunan mereka dengan mengenakan kostum warna warni, tarian dan makanan percuma. Saya sudah tentu tidak bersedia, tapi turut terlibat dengan berpakaian biasa melihat gelagat rakyat Cologne suka berparty.

 

Berlin

Saya menaiki Ryanair untuk ke Berlin, penerbangan tambang murah terkenal dalam kalangan backpackers di Eropah dengan harga €10.99 untuk perjalanan 1 jam 15 minit sebab tempahan awal di bulan promosi! Untuk destinasi antara Eropah, anda juga boleh cari harga menarik di Eurowings dan Wiz Air. Akan tetapi, pesawat syarikat tambang murah akan mendarat di lapangan terbang Berlin Schönefeld bukan terminal utama Berlin dan pengangkutan awam seperti bas dan S-Bahn terletak di luar bangunan terminal. Jadi anda perlu berjalan sekitar 10 minit untuk ke sana, dan terus ke pusat bandar Berlin.

Sama seperti di Cologne, saya juga menggunakan couchsurfing selama 2 hari di Berlin bersama dengan pasangan muda yang berasal dari situ. Untuk cari alamat rumah Host agak rumit dengan sistem rumah Eropah yang bertingkat dan berkunci, apa yang anda perlu tahu untuk memudahkan ialah surname host anda, boleh disemak pada butang loceng di bawah rumah.

Host saya semasa di Berlin daripada kiri Andrew, Frathas and Yokomaru (Jiran) bersama menikmati makan malam yang dimasak oleh saya dan Andrew.

Di Berlin, walaupun tidak mudah untuk meneroka bandar yang kaya dengan tapak sejarah peperangan dan peradaban dalam masa yang singkat, saya sempat menziarahi beberapa tempat menarik seperti  Reichstag building, Brandenburg Gate, Berlin Wall, the Memorial to the Murdered Jews of Europe, Alexanderplatz, Berlin Cathedral Church dan banyak lagi! Menurut orang tempatan, Berlin menawarkan kos sara diri yang paling rendah berbanding bandar Jerman lain dan jika anda inginkan panorama ancient Europe, Berlin lah jawapannya!

Jangan lupa juga untuk mencari Currywurst makanan segera murah dan sedap dalam kalangan Berliners, sosej disaluti curry Jerman dan dimakan dengan chips.

Di Alexanderplatz yang merupakan dataran terbesar di Berlin dan terletaknya stesen kereta api utama Berlin.

 

Di Alexanderplatz juga, anda boleh melihat Weltzeituhr (World Clock) dan The Fernsehturm (Television Tower).

 

Di Berlin Cathedral dikelilingi salji putih tidak jauh dari Alexanderplatz, rumah ibadat untuk penganut Kristian Evangelical

Sememangnya, pelbagai tempat menarik ada di Jerman dari era Roman, Soviet, Nazi dan Moden walaupun entri ini hanya merangkumi 3 bandar. Untuk sesiapa yang berhajat ke Jerman, tidak perlu pun bajet yang beribu Euro jika mengikut langkah penjimatan saya. Yang paling penting, pastikan anda peroleh pengalaman yang berharga selain foto di smartphone. Nantikan entri akan datang!

 

– Aizat Shamsuddin – Twitter: @isacscherbs

 

Leave a Reply

Top