You are here
Home > TEMPAT > ANTARABANGSA > Catatan dan Tips Kembara Solo ke Eropah ( 20 Hari )

Catatan dan Tips Kembara Solo ke Eropah ( 20 Hari )

Catatan Kembara Solo 20 hari ke Eropah

Eackhardt Toole dalam tulisannya di buku beliau A New Earth mengatakan bahawa pengembaraan secara solo atau solobackpack ini adalah sebuah pengalaman keluar daripada rutin harian dan kehidupan selesa dan ianya adalah sebuah proses pembelajaran dan bukannya penjadian. Terdapat pelbagai teori dan terminologi yang cuba membawa orang ramai supaya mencuba gaya mengembara secara solo kerana nikmat ilmu serta pengalaman ini sukar diperolehi dan diganti.

Solobackpack adalah salah satu kaedah terbaik untuk mereka yang ingin keluar mengembara tetapi mempunyai kekangan masa, bajet mahupun komitmen kerja. Solobackpack memberi anda peluang untuk merancang sendiri perjalanan anda serta bebas mengatur perbelanjaan anda tanpa perlu memikirkan pihak ketiga. Disini saya akan kongsikan pengalaman, tips dan cara berjimat saya selama 20 hari mengembara secara solobackpack di benua Eropah (London –Leeds – Manchester – Prague – Vienna – Bratislava – Budapest – Rome – Barcelona

London (1 Hari)

Pengembaraan saya bermula di London selepas 13 jam perjalanan menaiki Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur dan tiba di Terminal 4 Heathrow jam 7 pagi. Memandangkan ini bukanlah kali pertama saya melawat London, maka ianya bukanlah menjadi destinasi utama pada kali ini. Walaubagaimanapun saya sempat keluar bersiar-siar sekitar Themes River, Trafalgar Square, Picaddily Circus dan Queen Elizabeth Olympic Park sebelum menaiki bas ke Leeds jam 8 malam.

London adalah sebuah bandar metropolitan yang besar dengan populasi seramai 9 juta orang. Terdapat beberapa lapangan terbang utama (Heathrow, Stansted, Gatwick, Luton) stesen kereta api utama (King’s Cross, Euston, St Pancras, Victoria) dan stesen bas (Victoria Coach Station) menjadi pintu keluar masuk utama ke bandar London. Selain itu London juga terkenal dengan sistem pengangkutan awam yang efisen mereka seperti London Bus dan London Underground memudahkan para penduduk dan pelancong mereka bergerak dari satu destinasi ke destinasi yang lain.

Tip & Info:-
Tempat tarikan: Tower of London, Big Ben, Trafalgar Square, Buckingham Palace, Hyde Park, Picadilly Circus dan lain-lain.
Pengangkutan: London Underground/London Bus
Tiket: Oyster Card (Sistem “Pay as You Go” dan “Daily Capped”). Boleh dikembalikan dengan syarat sertakan resit pembelian dikaunter stesen-stesen utama sekitar London.
Cadangan untuk kunjungan pertama: 3 – 4 hari


Leeds (3 Hari)

Pada hari yang sama sekitar jam 8 malam, dari Victoria Coach Station saya bergerak menuju ke Leeds dengan menaiki Megabus. Dengan harga tiket serendah £5 untuk perjalanan selama 4 jam 30 minit, Megabus menjadi pilihan yang paling jimat untuk bergerak dari sebuah bandar ke bandar yang lain. Mereka juga menyediakan perkhidmatan free-wifi selain beroperasi diluar United Kingdom seperti France, Belgium, Spain, Germany, Netherlands dan Italy dengan usahama bersama Flixbus serta tawaran harga yang berpatutan.

Leeds Beckett University, Headingley Campus

Leeds terletak diutara London dan disebelah barat Yorkshire dan merupakan bandar ke-4 terbesar di England selepas Birmingham dan Manchester dengan populasi seramai 2 juta penduduk. Di Leeds saya banyak menghabiskan masa melawat bekas univeristi, pensyarah dan rakan-rakan lama disana. Selain itu saya juga sempat pergi ke tempat-tempat menarik disekitar bandar Leeds seperti Headingley, Kirkstall Abbey dan Roundhay Park.

Tips & Info
1. Tempat tarikan: Roundhay Park, Leeds Market, Kirkstall Abbey, Royal Armouries Museum, Headingley Campus, Harewood House dan lain-lain.
2. Pengangkutan: Bas dan teksi
3. Tiket: £4.20 untuk 24 jam
4. Cadangan untuk kunjungan pertama: 1-2 hari

Manchester (1 hari)

Dari Leeds saya menaiki bas (Megabus) menuju ke Manchester dengan harga tiket £6 dan perjalanan mengambil masa 1 jam 15 minit. Di Manchester ada sebuah tempat makanan yang terkenal dikalangan rakyat dan pelajar Malaysia di UK. Jika anda berkelapangan boleh pergi ke Restoran Al-Jazeera di Rusholmes, Manchester atau lebih dikenali sebagi Curry Mile dikalangan orang putih disana. Uniknya disini, mereka menyediakan air percuma untuk semua rakyat Malaysia disebabkan jumlah bilangan pengunjung rakyat Malaysia dikedai ini terlalu tinggi. Selain itu harga, rasa, nilai makanan yang berpatutan menjadikan restoran ini sangat digemari pengunjung dari Malaysia.

Manchester merupakan bandar ketiga terbesar di England yang terletak di Barat Laut London. Dengan populasi seramai 3 juta orang penduduk, bandar ini sangat populat dengan industri selain menjadi tumpuan untuk peminat bola sepak.

Tip & Info:
Tempat tarikan: Museum of Science and Industry, National Football Museum, Old Trafford, Etihad Stadium, Rusholmes, Manchester Art Gallery dan lain-lain.
Pengangkutan: Bas dan Tram
Tiket: £5 untuk 24 jam
Cadangan untuk kunjungan pertama: 1-2 hari

Prague (3 Hari)

Saya tiba di Lapangan Terbang Prague Vaclav Havel lewat malam selepas berlepas dari Manchester dan untuk menjimatkan kos penginapan, saya telah membuat keputusan untuk tidur di lapangan terbang. Untuk para pengembara yang mempunyai penerbangan awal pagi atau ketibaan lewat malam dan ingin berjimat boleh cuba untuk menginap secara percuma di lapangan terbang. Anda juga boleh merujuk ulasan yang ditinggalkan oleh pengembara lain di sleepinairport.net berkenaan lapangan terbang yang ingin dilawati. Di Prague Vaclav Havel, terdapat rondaan dan pantauan polis dan saya menkategorikannya sebagai selamat selain lapangan terbang yang cukup bersih dan kondusif serta wifi percuma untuk semua pengunjung.

Charles Bridge jambatan yang merentas Sungai Vltava yang mula dibina pada tahun 1357 dan siap pada sekitar abad ke-15.

Bertolak ke bandar Prague keesokkan harinya dan perjalanan mengambil masa lebih kurang 30 minit dengan menaiki bas dan juga metro ke stesen Staromestska, Prague. Untuk penginapan di Prague, anda dinasihatkan untuk mencari tempat penginapan disekitar kawasan Praha 1 dan 2 dimana ianya lebih dekat dengan majoriti tempat tarikan pelancong seperti Charles Bridge, Old City dan lain-lain.

Tip & Info:
Tempat tarikan: Charles bridge, Astronomical Clock, Josefov, St Vitus Cathedral, Vysehrad, Municipal House, Prague Castle, Petrin, Prague Jewish Museum
Pengangkutan: Metro dan Tram
Tiket: €5 untuk 24 jam
Cadangan untuk kunjungan pertama: 2-3 hari

BACA JUGA :

Catatan Kembara Jerman

Vienna (1 hari)

Hari ke-9 saya bergerak ke Vienna dengan mencuba sistem ‘carpooling’ berbayar yang cukup popular dikalangan pengembara di eropah. BlaBlaCar adalah sebuah sistem dimana pemilik kenderaan berkongsi perjalanan mereka termasuk jadual perjalanan, harga dan keutamaan mereka di talian dan penumpang membuat tempahan dan bayaran akan dibuat bagi mengurangkan kos pemilik kenderaan.

Bersama Claudia, pemilik kenderaan warga Austria dan Katrina warga Jerman menuju ke Austria menggunakan sistem BlablaCar.

Di Vienna, budaya dan persekitarannya seakan anda berada di Jerman mungkin kerana penggunaaan bahasa yang sama digunakan diantara dua buah negara ini. Walaubagaimanapun Vienna juga terkenal sebagai “House of Music” kerana disini asal ususlnya Mozart dan disini juga terdapat beberapa rumah opera yang cukup mahsyur seperti Vienna Volksoper, Vienna State Opera dan lain-lain.

Tip & Info
Tempat Tarikan: Museum of National History Vienna, St Stephens Cathedral, Column of The Trinity, Mozarthaus, Spanish Riding School, Hofburg Palace dan lain-lain
Pengangkutan: Metro
Tiket: €7 untuk 24 jam
Cadangan untuk kunjungan pertama: 1 -2 hari

Bratislava (2 hari)

Dari Vienna Stadion Bus Terminal saya menaiki bas ke Bratislava Mlynske Nivy dengan perjalanan mengambil masa lebih kurang 1 jam 30 minit. Saya menaiki bas dibawah perkhidmatan Regiojet yang cukup terkenal dengan perkhidmatan servis mereka. Ini adalah kali kedua saya menaiki bas yang mempunyai perkhidmatan pramugari yang membantu penumpang mendaftar masuk bagasi mereka, selain menyediakan perkhidmatan percuma seperti wifi, menonton filem di skrin tempat duduk anda serta air panas percuma.

Di Bratislava saya menetap di Patio Hostel yang cukup terkenal dikalangan backpacker. Hostel mereka yang sangat kondusif dan meriah dengan kehadiran pengembara dari seluruh pelusuk dunia selain lokasi mereka yang berdekatan dengan pusat tarikan pelancong.

Bratislava merupakan ibu negara bagi Slovakia yang terletak disepanjang Sungai Danube bersempadankan Austria dan Hungary. Bandar mereka yang kecil memudahkan pengembara bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain tanpa perlu menggunakan perkhidmatan awam seperti Tram dan sebagainya.

Tip & Info
Tempat Tarikan: Primatial Palace, Bratislava Castle, Napoleon Army Soldier, Man at Work –Cumil, Slavin War Memorial, Maximilian’s Fountain dan lain-lain
Pengangkutan: Tram
Tiket: –
Cadangan untuk kunjungan pertama: 1-2 hari

Budapest (1 hari)

Dari Bratislava saya menuju ke Budapest sekali lagi menggunakan perkhidmatan Regiojet dengan perjalanan mengambil masa lebih kurang 3 jam. Budapest adalah ibu negara bagi Hungary dan merupakan sebuah bandar yang mempunyai dua personality. Buda merupakan kawan berbukit dikelilingi istana dan pusat pemerintahan lama dan Pest pula merupakan kawasan tanah rata yang diduki golongan borjuis dan pertengahan. Kedua bandar bersejarah ini dipisahkan dan disatukan oleh Sungai Danube dan dihunugkan oleh Chain Bridge sebagai jambatan utama.

Pemandangan dari Buda Castle. Chain Bridge merentasi Sungai Danube menghubungkan Pest disebelah sana.

Tip & Info

Tempat tarikan: Chain Bridge, Danube Promenade Budapest, Fisherman’s Bastion, Heroes Square, Citadella, Liberty Statue, St Stehens Basillica, Thermal Bath dan lain-lain.
Pengangkutan: Metro, Bas dan Tram
Tiket: €7 untuk 24 jam
Cadangan untuk kunjungan pertama: 2-3 hari

Rome (3 hari)

Sebelum ke Rome, saya bermalam sebentar di Lapangan Terbang Budapest dimana situasinya sama seperti Lapangan Terbang Prague sangat kondusif dan mesra pengembara. Saya tiba di Rome jam 10 pagi dan menaiki bas ke Stesen Termini iaitu pusat pengangkutan darat di Rome. Kebetulan Hostel saya berdekatan dengan Stesen Termini iaitu terletak di Via Calatafimi sangat memudahkan urusan pengangkutan saya. Rome merupakan ibu negara bagi Italy dengan populasi seramai 3 juta orang penduduk yang mewarisi peninggalan Empayar Rom selain menjadi rumah dan tanah suci bagi penganut kristian katholik (Vatican City).

Apa yang menarik berkenaan Rome adalah bandar dan sistem metro mereka tidak tersusun berbanding bandar-bandar utama sekitar eropah dan ianya kerana setiap kali kerajaan cuba menggali laluan baru mereka akan menjumpai artifak atau serpihan peninggalan Empayar Rom.

Tip & Info
Tempat tarikan: Colosseum, Roma Forum, Vatican City, Pantheon, Trevi Fountain, Spanish Steps, St. Peter’s Basilica, Piazza Navona, Sistine Chapel, Palatine Hill dan lain –lain
Pengangkutan: Metro, Bas dan Tram
Tiket: €7 untuk 24 jam
Cadangan untuk kunjunagn pertama: 3 – 4 hari

Barcelona (3 hari)

Selepas bermalam di Lapangan Terbang Rome Flumicino, saya berangkat ke Barcelona. Di Barcelona saya menetap di Badalona bersama “local host” yang saya kenal dan dapat dari Couchsurfing. Badalona terletak kira-kira 45 minit dari bandar Barcelona. Oriol seorang lelaki warga Catalan banyak berkongsi tentang budaya, tatacara hidup dan politik di Catalan yang jauh berbeza dari Sepanyol dan banyak sebab dan alas an bagi mereka untuk mereka menyokong usul kemerdekaan bagi wilayah Catalan.

Selain itu Barcelona juga terkenal dengan nilai seni mereka yang menjadi latar belakang sejarah seni eropah sejak berabad lagi. Tokoh-tokoh seni seperti Joan Miro, Anotnio Tapies dan Ramon Casas dimana banyak hasil seni karya mereka boleh dilihat dan dihayati di Barcelona Museum and Contemporary Art.

Tip & Info
Tempat Tarikan: La Ramblas, Sgarada Familia, Plaza Catalunya, Nou Camp, Park Guell, Gothic Quarter, Montjuic, Casa Milla dan lain-lain.
Pengangkutan: Metro, bas dan tram
Tiket: €9 (T10 – Untuk 10 perjalanan)
Cadangan kunjungan kali pertama: 2-3 hari

Setakat ini sahaja dahulu perkongsian dan tip saya, ada masa saya share lagi

Boleh hubungi penulis di Facebook : Faiz Kama

Dan jangan lupa untuk follow FB Page kami

TravelsiaMY

Leave a Reply

Top