You are here
Home > TEMPAT > ANTARABANGSA > Apa Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Hawaii

Apa Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Hawaii

Bagi yang sudah lama bermimpi untuk melancong ke Hawaii tetapi terikat dengan kekangan bajet kini anda tidak perlu bermimpi lagi. Air Asia X Berhad kini menawarkan penerbangan tambang rendah ke Honolulu, Hawaii dari Kuala Lumpur dan transit di Osaka, Jepun bermula 28 Jun, 2017 sebanyak empat penerbangan seminggu.

Bagi penerbangan bertarikh 28 Jun sehingga 6 Februari 2018, Air Asia X menawarkan harga promosi serendah RM499 sekiranya anda menempah tiket diantara 11 Februari hingga 26 Februari. Namun, bagi pelancong yang inginkan penerbangan yang lebih selesa, bolehlah menempah Premium flatbed yang harga bermula RM2999.

Hawaii merupakan sebuah negeri di Amerika Syarikat yang terkenal dengan pulau-pulaunya yang indah seperti Maui, The Big Island dan Oahu. Hawaii tidak mengalami perubahan musim atau cuaca seperti negeri-negeri di Amerika Syarikat yang lain namun, bulan November hingga Mac merupakan musim hujan di Hawaii. Walaubagaimanapun, hujan selalunya turun sekejap-sekejap disementara tempat sahaja jadi ianya tidak akan mengganggu aktiviti pelancongan secara keseluruhan. Oleh itu boleh dikatakan, Hawaii sesuai dilawati sepanjang tahun.

Penginapan dan pengangkutan di Hawaii boleh didapati dengan mudah. Tempat penginapan seperti hotel mewah, hostel, bed and breakfast, dan Airbnb amat mudah didapati di sana. Hostel yang murah boleh didapati serendah 30USD satu malam. Dari segi pengangkutan antara pulau, pelancong disarankan untuk menaiki kapal terbang. Terdapat tiga syarikat penerbangan yang menawarkan penerbangan antara pulau iaitu Hawaiian Airlines, Mokulele Airlines dan Island Air yang menawarkan harga antara 70USD hingga 200USD. Perkhidmatan feri pula hanyalah dari Maui dan Lana’i. Bagi pengangkutan di pulau, pelancong disarankan untuk menyewa kereta bagi menghayati sendiri keindahan pulau-pulau di Hawaii. Kereta sewa amat mudah didapati namun haruslah ditempah lebih awal kerana perkhidmatan kerata sewa agak terhad di sana. Selain dari kereta sewa, pengangkutan awam seperti teksi dan bas untuk pelancong juga amat mudah didapati di sana. Dari segi makanan pula, harga makanan di Hawaii agak mahal berbanding negeri Amerika Syarikat yang lain. Namun, dibeberapa buah pulau telah bermula perkhidmatan food truck jadi pelancong mempunyai lebih pilihan makanan dengan harga yang berpatutan.

Oahu merupakan pulau yang paling terkenal di Hawaii. Di Oahu, pelancong boleh melawati muzium dan tapak bersejarah seperti USS Arizona Memorial dan Bishop Museum. Hanauma Bay juga merupakan salah satu tarikan pelancong ke Oahu. Hanauma Bay terkenal dengan aktiviti snorkeling atau menyelam. Pelancong dapat melihat keindahan terumbu karang, pelbagai spesis ikan dan penyu.

Bagi pelancong yang ingin melihat gunung berapi aktif di Hawaii, bolehlah ke The Big Island. Kilauea, The Big Island amat terkenal sebagai gunung berapi yang masih aktif menghasilkan lava. Di sini juga terdapat pantai yang indah seperti Hapuna dan padang golf yang terletak bersebelah dengan pantai yang sangat indah iaitu Mauna Kea Golf Course. Bagi yang mahu melihat bintang-bintang yang indah, haruslah mencuba aktiviti stargazing yang terkenal di Mauna Kea yang bermula pada pukul 6 petang sehingga 10 malam. Di Maui pula, pelancong boleh melakukan pelbagai aktiviti seperti menyelam, menaiki heli melihat pemandangan sekitar Maui, dan melawat taman-taman yang menarik di sekitar pulau Maui. Bagi pelancong yang ingin melihat air terjun yang indah di Maui bolehlah pergi ke air terjun yang paling terkenal di Maui iaitu Twin Waterfalls. Terdapat beberapa lagi air terjun yang boleh dilawati di Maui seperti Wailua Falls,dan Waimoku Falls.

Pulau-pulau yang indah, terumbu karang yang pelbagai dan air laut yang biru pastinya impian setiap pecinta pulau dan pantai. Dengan penerbangan tambang rendah Air Asia X, kini pecinta pulau dan pantai tidak perlu bermimpi lagi untuk ke Hawaii. Hawaii pastinya tidak akan mengecewakan pelancong-pelancong yang datang kesana. Selamat ber-Aloha!

Zareenzaha
FB : https://www.facebook.com/reen.sofee

Leave a Reply

Top