40 Tempat Menarik di Perth Australia Serta Itinerari dan Panduan Travel Kesana

Nukilan Mufarwa Farid

LAWATI 40 TEMPAT MENARIK DI PERTH DENGAN BAJET SEDERHANA!

Aku nak berkongsi tentang pengalaman aku pergi ke Perth, Australia selama 5 hari 5 malam, iaitu pada 3-7 September 2018 lepas.

Untok pengetahuan semua, sepanjang 4 hari kami berada di Perth, kami dah pergi lebih 40 buah tempat menarik menaiki kereta sewa sendiri.

Semuanya kami berdua rancang sendiri, cari tempat sendiri, bawa kereta sendiri dan semuanya berlangsung tanpa ada tour guide. Jadi, kalau aku yang kerap sesat-sesat ni pun boleh berjalan sakan kat sana, apatah lagi korang kan?

Suka aku nak ingatkan bahawa aku ke Perth ni bukanlah satu trip yang bajet, tapi ia taklah mahal sangat. Perbelanjaan ni sesuai untok yang pergi honeymoon dan yang memang jenis suka berjalan tempat-tempat menarik semaksima yang mungkin.

Sebelum aku menulis tentang itinerary, aku nak kongsikan dulu jumlah kos asas yang telah kami keluarkan.

Perbelanjaan:

1) Tiket pergi balik untuk 2 orang: RM1464.00 (Termasuk luggage)- ini tiket promotion Disember 2017
2) Hotel Hay Street Traveller’s Inn: RM90x5= RM450.00
3) Kereta sewa 5 hari dengan City Centre Car Rentals: RM534.00 (Termasuk unlimited kilometer dan overnight service charge)
4) Minyak petrol kereta: RM270.00 (sebab convert matawang sana)

Semua yang aku sebutkan ini merupakan perbelanjaan asas. Tak termasuk dengan makan minum, souvenirs, tiket masuk tempat dan tiket parking. Nanti dalam post ni sikit demi sikit aku akan kongsi, kat mana dan berapa kos yang dikeluarkan.

Berikut merupakan itinerary kami sepanjang 5 hari 5 malam:

=============================================
📌 HARI PERTAMA
=============================================

Flight kami dari KLIA2 menaiki Airasia tiba di Perth International Airport dalam jam 5.00 pagi. Lepas uruskan beg, kami menuju ke surau. Surau dia betul-betul tepi pintu Airport paling hujung. Tapi surau dia bercampur laki perempuan. Nak buat macam mana, jalan je lah.

Lepas solat, kami terus pergi beli simkad. Simkad paling murah dan banyak data adalah OPTUS Simkad. $10 bersamaan RM30 untok 5gb data. Hanya tunjukkan passport dan bayar, dah boleh terus pakai.

Jam 7.00 pagi, kereta sewa kami sampai. Nama syarikat ini adalah City Centre Car Rental, dipunyai oleh orang Malaysia. Cina Sabah. Jadi, senang sangat nak berurusan dengan dia. Harga pun tak mahal, iaitu serendah $26 sehari bergantung jenis kereta.

Untok sewa kereta ni, dia hanya cover insurans untok 400km sahaja. Maknanya, kalau kita bawak kereta lebih 400km, apa-apa kemalangan yang berlaku dia takkan cover. Jadi, kalau nak jadikan ia ‘unlimited kilometer’, kena lah beli insurans dia $9 sehari. Kalau kami sewa 5 hari, kena lah tambah $45 lagi.

Boleh Whatsapp diorang di +610481132390 (Brendan).

Habis berurusan, kami terus ke destinasi pertama kami, iaitu Masjid Suleymaniye.

1) Masjid Suleymaniye

Masjid ini hanya terletak 15 minit daripada airport. Masjid ini besar, cantik, dan tandasnya mempunyai paip nak cebok. Kat Australia ni punyalah payah nak mencari tandas yang ada paip cebok.

Kami bergambar, melawat di sekeliling, kemudian kami ambil peluang untok ‘membuang’. Selepas membuang segala apa yang dalam perut, kami pun breakfast Nasi Briyani Ayam Rendang Pek Meal KEMBARA.

Pek meal ni sangat mudah, sebab takyah guna air panas, hanya curah je apa-apa air sejuk, dan ada satu pad panas di dalamnya yang akan panaskan air tersebut sehingga makanan di dalamnya masak. Sebungkus RM17, dan kalau 6 bungkus RM110. Boleh beli di Shoppe siap-siap sebelum travel.

Selesai di masjid ini, kami terus pergi ke destinasi kedua iaitu,

2) Araluen Botanic Park

sumber www.overseasattractions.com

Salah sebuah kawasan tanaman bunga tercantik di Perth. Harga nak masuk ke kawasan ini $15 seorang. Tempatnya sangat besar, dan penuh dengan bermacam jenis bunga.

Kebetulan kami pergi waktu musim bunga, jadi banyaklah bunga yang dah mekar. Hampir 3 jam kami ronda-ronda dalam kawasan park ni. Beratus-ratus gambar yang diambil. Di tengah-tengah park ni ada sungai yang sangat jernih. Air terjun kecil dia pun menambah lagi kecantikan di kawasan itu.

Sempat juga kami beli kopi di kiosk, kemudian duduk sambil menikmati suasana acah-acah macam mat saleh yang lain.

Selesai di park ini, kami terus ke hotel untok check in.

3) Hay Street Traveller’s Inn

Sumber : Hostelsclub

Walaupun bukanlah salah satu destinasi, aku kena masukkan hotel ni dalam itinerary sebab ada benda aku kena share.

Hotel ini adalah hotel murah paling strategik sebab ia terlelak di tengah-tengah bandar Perth City. 25 minit sahaja daripada Perth Airport Senang nak ke mana-mana sebab banyak kedai makan, kedai runcit dan souvenirs di sekitar ini. Harganya dalam $30 sehari sahaja.

Hotel ni terletak betul-betul tepi jalan. Jadi, parking dia sangat limited. Untok pengetahuan anda, di kawasan Hay Street ini, waktu siangnya parking dia berbayar.

Dari jam 8.00 pagi sampai 6.00 petang, semua kereta yang nak parking kena bayar kat mesin $3.50 sejam. Ya, sejam. Kau akan habis RM11 sejam hanya untok bayar parking sahaja. Kalau 10 jam kau parking, maka kau buta-buta habiskan RM110 hanya untok parking je.

Tapi, 6.00 petang hingga 8.00 pagi, takda bayaran kereta yang akan dikenakan, tapi kau kena berebutlah dengan orang situ. Syukur alhamdulillah, sepanjang aku kat situ, aku mesti dapat parking, sebab aku akan pulang ke hotel sebelum jam 6 petang bagi merebut parking.

Ok, berbalik ke hotel. Basically hotel Hay Street ini sebenarnya hotel bajet sahaja. Kami tempah satu bilik katil queen, dan biliknya hanya ada tempat mandi je. Tandasnya ada kat hujung bangunan. Maka, aku cakap kat bini aku, kencing je lah kat tempat mandi. Berak je pergi tandas.

Hotel ni ada ruang nak memasak dan dia ada sediakan peti ais di dapur.

Lepas check in hotel, letak barang, kami terus ke destinasi seterusnya.

4) Blue Boat House

Sumber : Blue Boat House

Lokasinya di tepi laut. Boleh guna GPS untok ke tempat ini. Basically, Blue Boat House hanyalah sebuah rumah berwarna biru yang ada kat tepi laut. Tu je. Takda tarikan apa pun kat sini. Semua boleh pergi ke tempat ni, tapi kena beratur sikitlah.

Tarikan utama tempat ini adalah bila kita ambik gambar, nampak cantik gila. Dengan langit warna biru, laut pun biru, rumah pun biru, jadi nampak macam syorga sikit.

Lepas tu, kami pergi makan di Insan Cafe.

5) Insan Cafe

Salah satu kedai yang menjual masakan Melayu di sini. Halal. Makanannya memang semua makanan common orang Melayu. Ayam kari, ayam masak merah, kambing kari, ikan masak sambal dan makanan panas yang lain.

Harga nasi campur dia dalam $9-$18. Kalau yang makanan panas tu ada pelbagai harga. Aku beli nasi kari kambing dengan sayur dan Ainnur beli nasi kari ayam dengan sayur. Sebungkus $9.

Kami bungkus je makanan, dan bawa makanan tersebut ke destinasi seterusnya:

6) Kings Park

Kings Park by @ooimckenziee

Kings Park merupakan satu taman yang dikhususkan untok orang awam berpiknik, berjoging dan melepak. Tempat ni sangat cantik dan aman sekali.



Park ini juga satu-satunya park yang ada kat area situ yang menyediakan meja, kerusi dan tempat basuh tangan. Sangat convenience untok orang awam bawa makanan kat situ bersama insan tersayang.

Selesai makan, kami ambil gambar di kawasan park. Park ini terletak di atas bukit. Jadi, dari park itu boleh nampak seluruh bandar Perth. Kalau pergi malam memang lagi masyuk.

Selesai di sana, jam pun sudah menunjukkan 5.45 petang, lalu kami pun pulang ke hotel. Malam tu kami berehat sahaja sebab kepenatan perjalanan yang panjang.

==============================================
📌 HARI KEDUA
==============================================

1) Penguin Island
Destinasi pertama pada hari kedua kami adalah di Penguin Island. Penguin Island ini adalah sebuah pulau yang perlu menaiki feri untok ke sana. Di pulau itu terdapat banyak penguin yang boleh kita pegang, dan ada beberapa pertunjukan menarik yang akan dipersembahkan.

Malangnya, feri tidak dapat membawa kami ke sana kerana cuaca yang kurang baik. Berhuhuhu lah kami. Tapi sempat jugalah membeli souvenir kat sana walaupun tak dapat ke pulau.

Kesedihan itu terubat selepas kami ke:

Tiket Flight Murah ke Perth Australia

Departure date Return date Stops Airlines Find Ticket

06.03.2019

10.03.2019

Direct

Tickets from 1 064

06.03.2019

10.03.2019

1 stop

Tickets from 1 151

01.02.2019

09.02.2019

2 stops

Tickets from 1 837

2) Shoalwater Islands Marine Park

Flickr

Ia merupakan kawasan pantai yang sangat cantik untok diambil gambar. Daripada Penguin Islands tu nak ke Cape Peron akan ternampak kawasan pantai ini sepanjang jalan. Memang betul-betul cantik lebih-lebih lagi kalau pergi waktu petang.

Lepas ke Shoalwater, kami terus menuju ke Cape Peron.

3) Cape Peron

Cape Peron ni hanyalah kawasan berbatu-batu di tepi pantai, tetapi menyediakan pemandangan yang sangat-sangat cantik. Burung-burung di sana menambah lagi kecantikan di tempat ini.

Cape Peron hanya terletak 5 minit sahaja daripada Penguin Island. Kami habiskan satu jam untok bergambar di sini. Di situ ada puncak tebing yang membuat seolah-olah kita berada at the top of the view berlatar belakangkan laut.

Selesai di sini, perut kami terasa lapar. Maka kami ke destinasi seterusnya,

4) Kailis Fish and Chip

20 minit daripada Cape Peron, Kailis Fish and Chip merupakan salah sebuah kedai Fish and Chip yang paling sedap di seluruh Australia. Harga sepinggan Fish n Chip ini antara $8-$50.

Kami ambil set $12.90 yang ada dua fish and chip dan selambak fries. Kami beli dua set. Kat kedai ni ada sos cili, tapi kena minta kat kaunter.

Pada pendapat aku, Fish and Chip dia memang sedap. Ikan dia rasa fresh dan memang ngam-ngam dengan tekak pecinta ikan. Kena pula dengan sos tartar dia, memang lagi umpphh.

Selesai makan, kami pergi ke:

5) Fremantle Fishing Boat Harbour

Sumber : Freemantle Story

Lokasinya betul-betul di sebelah Kailis Fish And Chip.

Basically, tempat ni adalah tempat parking bot-bot nelayan. Lokasinya cantik untok bergambar sebab banyak bot-bot nelayan ni parking cantik tersusun. Dan latar belakang tempat ni pula ada merry-go-round, menambah lagi kecantikan untok bergambar.

6) Bathers Beach

Bathers Beach merupakan salah satu kawasan bersejarah di kawasan Fremantle. Ia terletak betul-betul seberang jalan Kailis Fish Markets. Tarikan utama di sini adalah pemandangan lautnya yang cantik, dan terdapat binaan-binaan unik di sekitarnya.

Kalau dah sampai area sini, boleh singgah di Freo Painting The Town Yellow. Boleh bergambar dengan bangunan yang ada garisan kuning yang berhubung antara bangunan lain. Kami tak pergi sini sebab tak sempat.

Habis bergambar di sini, kami pergi pula ke Rainbow Container.

7) Rainbow Container

Sumber : Flickr.com

Rainbow Container adalah kontena berwarna-warna ikut warna pelangi yang disusun pun macam pelangi. Ada satu binaan je kat sini, yang aku sampai pelik takkan benda ni pun boleh jadi tarikan tourist area sini?

Tapi tak apalah, kami pun bergambar juga kat bawah kontena ni. Dalam 3 minit lepas tu, kami pula masuk kereta semula. Memang tempat ni semata-mata ada kontena pelangi ni je. Yang lain semua rumput dan jalan raya.

Lepas tu, kami pun pergi ke:

8) Gilbert’s Fresh Market

Tempat ni macam pasaraya Billion dan TF kalau kat Malaysia, tapi buah-buahan dan sayur-sayuran dia murah dan segar-bugar. Harga barangan basah dan kering pun murah-murah. Bolehlah berbanding kedai-kedai lain.

Di Perth, kami kerap beli susu. Susu kotak dia sangat murah dan besar. Susu kotak 1 liter harganya baru $1.95. Di market ini, susunya murah-murah dan banyak pilihan.

9) Freemantle Markets

Salah satu tempat paling menyeronokkan untok membeli souvenirs. Terdapat berpuluh-puluh kedai yang menjual souvenirs di dalamnya, dan kesemuanya murah-murah belaka.

Malangnya, ia hanya dibuka pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad sahaja. Kami pergi ni hari Selasa. Kedai di sekitarnya pun tak banyak yang buka. Apapun, kami hanya sempat membeli-belah di satu kedai souvenirs yang tak berapa jauh daripada market.

Pakej Murah ke Perth Australia

10) District Court of Western Australia

Setelah ke Freemantle, jam sudah menunjukkan 5.15 petang. Jadi, kami ambil kesempatan untok pulang ke hotel. Berehat, bermandi-manda dan solat, kemudian kami keluar semula dari hotel dan berjalan kaki ke arah satu tempat iaitu District Court of Wesetern Australia.

Disebabkan kami berdua ni peguam, jadi bila tengok mahkamah ni rasa teruja sikit. Ia merupakan Mahkamah Daerah Perth yang mendengar kesemua kes yang ada kecuali kes-kes yang hukumannya tak melebihi 25 tahun penjara dan denda $750,000.00.

Tak ada apa yang menarik pun, tetapi mahkamah ini terletak hanya 1km daripada hotel.

Di hadapannya pula ada Supreme Court dan Magistrate Court of Western Australia.

11) Perth Souvenirs & Giftware

Berjalan lebih kurang 2.5 km daripada hotel, kami singgah di salah sebuah kedai souvenirs di kawasan itu. Souvenirs nya sangat banyak. Cakaplah kita nak apa, semua dia ada. Daripada baju, sampailah papan plat besi. Setakat key-chain dan fridge magnet tu tak payah ceritalah. Melambak.

Kedai ini kami dapati merupakan kedai paling murah dalam banyak-banyak kedai souvenirs yang kami pergi. Jadi, aku reccomend untok ke kedai ini kalau nak beli souvenirs.

12) 7 Eleven Hay Street

Setelah sejam lebih membeli-belah di kedai souvenirs, kami singgah di 7 Eleven sebelum pulang ke hotel. 7 Eleven di sini menawarkan mesin air kopi layan diri yang berpatutan harganya iaitu $1 sahaja secawan saiz medium.

Air kopinya sangat sedap. Ada 6 pilihan kopi yang kita pilih. Bila aku rasa air kopi dia, rasanya lebih sedap daripada Starbucks. Memang beratur orang nak beli air kopi dia ni terutamanya waktu pagi.

Setelah melayan kopi, kami pun berjalan sambil ambil gambar suasana, dan akhirnya kami balik ke hotel pada jam 10.00 malam.

============================================
📌 HARI KETIGA
============================================

1) Kings Park (lagi..)

Kali ini kami ke Kings Park untok breakfast pulak. Rasa menyesal, sebab sejuk ya Rabbi. Menggigil tangan kami makan nasi beriyani. Bila basuh tangan tu tak rasa apa sebab kebas.

2) Caversham Wildlife Park

Selepas breakfast ala-ala piknik dalam kawasan beku, kami menuju ke Caversham Wildlife Park. Di sini merupakan zoo bagi haiwan-haiwan yang kita tak jumpa kat negara lain, yang hanya hidup di Australia sahaja.

Di sini kita boleh beramah-mesra dengan Kanggaroo dan Wallaby sesuka hati. Nak peluk-peluk pun diorang tak kisah.

Tempatnya bebas, tetapi ada jadual khusus untok kita beramah mesra dengan haiwan-haiwan. Contohnya dengan Koala pada jam 9.00 pagi, Wombat pada 9.30 pagi, dan ada pertunjukan penjagaan biri-biri dan lembu pada jam 10.00 pagi.

Kita juga berpeluang untok mencuba memerah susu lembu di sini. Kemudian pada jam 12.00 tengah hari ada pertunjukan Penguin makan ikan.

Dah nak balik tu, kami ada berbual dengan satu family Malaysia. Kata diorang, ada satu lagi tempat lagi best iaitu di Conuhu Koala Park. Conuhu ni lagi best sebab kita boleh beramah-mesra dengan koala, dan satu-satunya tempat di Perth yang bagi kita peluk koala. Kat Caversham boleh, cuma sekejap sangat.

Cadangnya nak terus ke Conuhu, tapi sebab terlalu jauh (45 minit daripada Caversham), kami pun batalkan hasrat, sebab Conuhu ni pun tutup jam 4.00 petang. Kami jam 1.00 tengah hari pun masih kat Caversham lagi.

Maka, kami pun nak cari masjid untok solat.

3) Swan Valley Mosque And Islamic Centre

Masjid ini terletak tak sampai 10 minit daripada Wildlife Park tadi. Masjidnya sangat-sangat cantik dan bersih. Masjid ni baru ditubuhkan 4 tahun lepas, jadi terdapat bangunan di sini yang masih dalam pembinaan.

Tempatnya sebijik macam masjid di Malaysia. Dan ada paip sembur yang mudah untok kita cebok. Kawasannya tenang dan parkingnya sangat luas. Selesai solat, kami bertanya jemaah di situ mana-mana kedai makanan halal yang ada di sekitar.

Dia mencadangkan kami pergi satu kedai kebab yang sedap di situ.

4) Caversham Kebab And Pizza House

Dimiliki oleh orang Turki, harga kebab ini daripada $11.90 sahaja. Bila kami makan kebab dia, masyaAllah…sedap gila. Memang ramai orang yang beli kebab dan piza kat kedai dia even non-Muslim situ.

Tapi, yang paling kami tak boleh lupa adalah kentang goreng dia. Sebijik macam kentang goreng McD. Sedap sungguh sampaikan walaupun perut dah kenyang, aku tak henti-henti makan lagi fries dia ni. Dahlah selambak, lepas tu besar-besar pula tu.

Habis makan, kami terus ke destinasi seterusnya.

5) The Margaret River Chocolate Company, Swan Valley

Ini merupakan syurga bagi peminat coklat. Berpuluh-puluh jenis coklat segar dihimpunkan kat sini. Kilangnya hanya di belakang kedai sahaja, jadi coklat yang kita makan tu memang segar dan panas-panas daripada kilang.

Namun, hati-hatilah sebab terdapat coklat yang diletakkan alkohol. Pilih yang takda alkohol.

Sempat juga kami beli beberapa keping coklat yang berharga $2 setiap satu dan membeli Baby Ice Cream Cone yang berharga $3. Ingatkan bila baby ni mestilah sikit dah kecik. Rupanya selambak juga sampai muak juga bila makan. Nasib baik tak ambil yang medium dan large.

6) Swan Valley Wagon Tours

Ianya ladang yang ada kuda. Boleh bergambar dan naik kereta kuda kat sini. Ladangnya luas dan pemandangannya sangat cantik.

Aku tak tahu berapa harga nak naik kereta kuda kat sini sebab masa kami datang, tempat ni dah nak tutup. Orang tu pun dah masuk-masuk barang masuk lori dia. Tapi kami sempatlah menyelit nak ambil gambar dengan kuda-kuda situ.

Lepas 10 minit mengambil gambar, kami pun ke destinasi seterusnya.

7) Windarra Honey Farm

Ini merupakan tempat sesuai untok peminat madu. Kedainya tak besar sangat, tapi mempunyai banyak jenis madu. Harganya pun murah-murah nak dibandingkan dengan Malaysia. Contohnya harga madu Red Gum yang dijaual RM100 lebih di Malaysia, kat sini dijual RM75 sahaja.

Pemilik kedai ini sangat-sangat peramah. Dia akan menerangkan semua jenis madu, dan siap bagi kita rasa lagi semua madu-madu yang ada. Kemudian, dia akan suggest madu sesuai mengikut kehendak kita.

Kami beli satu madu Forrest dan Red Gum. Dia juga ada jual air madu halia bergas tanpa alkohol, dan aku beria-ia minum tester dia sebab sedap teramat. Entah rezeki apa, dia buka peti ais dia dan bagi aku sebotol terus secara percuma.

“It’s okay, it is a gift for your honeymoon.”

Sumpah baik gila pemilik dia ni. Mengalir air mata aku mengenangkan harga hadiah yang dia bagi ni lagi tinggi berbanding harga barang yang kami beli.

8) Australia The Gift

Setelah kami pulang ke hotel, kami terus keluar dan berjalan kaki lebih jauh lagi untok melihat-lihat kawasan bandar Perth pada waktu malam. Jadi, sambil berjalan tu kami singgah lah ke sini.

Merupakan kedai souvenir ketiga yang kami pergi sepanjang di Perth. Barangannya murah juga berbanding kedai Perth Souvenirs and Gift. Ada barang di sini lebih murah, tapi ada barang yang lebih mahal. Haa..jadi kalau nak membeli souvenirs, bolehlah compare dulu antara dua kedai ni.

9) State Library of Western Australia

Merupakan antara tempat wajib dilawati sekiranya anda datang ke Perth. SLWA merupakan antara perpustakaan terbesar di seluruh Australia Barat.

Apabila kami masuk ke sini, pengawal keselamatannya dengan mesra mencadangkan kami untok ke tingkat 3 terus. Di tingkat 3 ini terdapat satu ruangan khas untok melakukan research history.

Yang bestnya, mereka menyimpan berjuta-juta rekod sejarah dan akhbar yang boleh dilihat melalui mesin pemancar filem akhbar. Boleh diakses pada bila-bila masa dan bebas melakukan apa sahaja di sini.

Perpustakaan ini dibuka dari jam 9.00 pagi hingga 8.00 malam sahaja. Kami hanya sempat berada di situ sejam sahaja sebelum perpustakaan ditutup. Sedih….

10) D’Ankasa Restaurant

Salah sebuah restoran Melayu yang ada di bandar Perth. Di sini makanannya jauh lebih murah. Kami beli tomyam ayam dengan harga $6 beserta 2 nasi stim berharga $2 setiap satu. Total dalam $10 sahaja, jauh lebih murah daripada kami makan nasi campur.

Kami makan kat hotel saja sebab kedai tu tutup jam 9.00 malam. Lepas tu kami tidur.

==========================================
📌 HARI KEEMPAT
==========================================

1) Hyde Park

Kami breakfast di sini. Tempatnya lebih cantik berbanding Kings Park tetapi dia takda tempat duduk. Cuma dia ada pentas kecil yang boleh kita duduk-duduk. Sambil makan, kita dihadapkan dengan tasik yang tenang dan boleh nampak itik-itik berenang.

Tandas awam pun dekat, jadi senang nak basuh tangan. Sekali lagi, rasa menyesal breakfast kat park sebab sejuk teramat.

2) Strawberry Farm

Aku tak tahu apa nama strawberry farm ni, tapi ia terletak di tepi jalan on the way nak pergi ke Lancelin Sand Dunes. Ladang strawberi dia tak boleh dimasuki, tapi kedai dia menjual strawberi yang segar-bugar dan manis-manis. Harga pun dalam $5 sekotak.

3) Lancelin Sand Dunes

Sumber : Tripadvisor.com

Padang pasir berwarna putih, dan hampir tak ada apa-apa di sekelilingnya. Satu lokasi wajib sekiranya anda ke Perth. Lokasinya 1 jam 30 minit daripada Perth City sekiranya menaiki kereta.

Di kawasan ini terdapat tempat menyewa sand board yang membolehkan kita main gelongsor kat kawasan pergunungan padang pasir ni. Hanya $10 sahaja untok permainan 2 jam. Tapi…2 jam tu pun dah kira lama sangat, sebab penat gila main gelongsor tu.

Penat dia bukan masa main, tapi masa nak mendaki balik ke puncak. Rasa pening, nak muntah, semua ada sebab kami pergi waktu tengah hari. Tapi tempatnya memang wajib pergi sebab kawasan pemandangannya yang sangat cantik.

Habis baju dan poket berpasir-pasir, kami pun ke stesen minyak yang tak jauh daripada tempat ini.



4) Lancelin Roadhouse

Tempat ni dah macam R&R kecil bagi kawasan tempat ini. Ia menyediakan tempat makan, tandas, kedai runcit, tempat isi minyak, dan paling best,

ia menyediakan tempat basuh kereta layan diri. Siap ada vakum layan diri lagi.

Mesin vakum kereta boleh digunapakai dengan bayaran $1 sahaja tanpa had jam. Ia akan terhenti apabila kita letakkan balik kepala vakum tu kat tempat asalnya. Kalau nak basuh kereta, paip air laju tu perlu dibayar $2 sahaja. Semuanya kita kena buat sendiri.

5) The Pinnacles Desert

Sumber : Ilya Genkin

Jangan salah Waze macam kami. Pinnacles ni ada banyak kat kawasan Australia Barat. Yang betulnya adalah The Pinnacles Desert.

The Pinnacles merupakan satu tempat wajib sekiranya kita ke Perth. Ia terletak di tepi laut, 2 jam 30 minit daripada Perth City. Tapi jalan nak pergi ni melalui Lancelin Sand Dunes, jadi bolehlah pergi dua tempat ni sekaligus.

The Pinnacles Desert ini merupakan tanah lapang di tepi laut yang mempunyai beribu-ribu batu-batu yang asalnya dari dalam laut. Batu-batu ini menegak-negak dan cantik untok diambil gambar. Kawasannya dah macam kubur dengan batu yang panjang dan besar. Tapi ia merupakan satu tempat yang amat menarik.

Untok masuk ke sini harganya $13 bagi satu kereta.

Di sini aku nak nasihatkan agar kalau nak ke kawasan ni, pergilah Pinnacles Desert dulu, kemudian baru pergi ke Lancelin Sand Dunes. Sebab, mudah nak bersihkan kereta di Lancelin Roadhouse.

Kesilapan kami adalah, pergi Sand Dunes dulu, lepas tu basuh kereta, lepas tu pergi Pinnacles, kemudian terpaksa basuh kereta sekali lagi sebab kat Pinnacles pun berpasir-pasir. Jadi, jangan ulang kesilapan kami. Dan di sini pun takda masjid terdekat. Bawalah sejadah sendiri dan solat di Lancelin Roadhouse

6) Stadium Optus

Sumber : Multiplex.global

Kami gerak pulang dari Pinnacles jam 4.00 petang. Tiba di Perth City jam 8.00 malam. Jauh betul perjalanan kami termasuk berhenti solat dan berhenti nak ke tandas.

Kami singgah sebentar di Stadium Optus, antara stadium utama di Perth City. Walaupun stadium ni tak dibuka pada waktu kami tiba, tetapi pemandangannya sangat indah pada waktu malam. Ramai orang main basikal kat kawasan ni.

Sebab, kawasan ini betul-betul di tepi sungai dan melintasi satu jambatan tercantik di Perth City iaitu,

7) Matagarup Bridge

Sumber : Friendship Force TAUPO

Ia satu jambatan yang unik sebab tiangnya yang beralun dan berwarna-warni pada waktu malam. Ia jambatan yang menhubungkan antara bandar Perth dengan Stadium Optus. Ramai mengambil peluang untok mengambil gambar dan berbasikal di sini.

8) San Churro, Northbridge

San Churro adalah sebuah kedai yang menjual Churros terbaik di Perth. Dip yang disediakan sangat-sangat lah sedap sampai nak menangis bila makan. Harganya $13 bagi 6 churros beserta 2 dip. Memang recommended bagi peminat churros.

Setelah makan churros, kami pulang untok bersiap untok pulang ke Malaysia.

============================================
📌 HARI KELIMA
============================================

Basically, kami tak ke mana pun hari kelima ni. Kami bertolak ke pejabat kereta sewa pada jam 3.30 pagi, kemudian tiba di airport pada jam 4.00 pagi. Flight kami 6.50 pagi. Kemudian kami tiba di KLIA2 semula pada jam 12.00 tengahari.

.

Ada beberapa benda aku nak kongsi tentang Perth ni:

1) Kereta dia stereng belah kanan macam kita. Tapi undang-undang laju dia sangat ketat sebab kamera hadlaju ada di merata-rata tempat. Kat situ tak boleh bawa melaju-laju. Pemandu di situ juga bukan jenis suka hon. Kalau kita berhenti lama bila lampu dah hijau pun kereta belakang buat bodoh je.

2) Utamakan pejalan kaki dan penunggang basikal. Kalau lampu dah hijau dan ada pejalan kaki nak melintas, jangan hon atau marah-marah. Berhenti dan bagi je laluan. Kat situ memang dia hormat betul orang yang berjalan kaki.

3) Pastikan anda siap-siap bawa sejadah, wayar extension, plag adapter, cermin mata hitam dan bekas air plastik yang ada penutup untok cebok. Bekas air plastik ni ada dijual Shoppe.

4) Tak perlu ambil lesen luar negara. Australia terima lesen Malaysia. Kalau nak ambil juga pun boleh. Pergi JPJ, pergi je kaunter, dan bayar RM150 untok dapatkan lesen. Tak perlu ujian bagai.

Dalam banyak-banyak negara yang aku pergi, Perth merupakan antara tempat paling best. Orangnya yang sangat baik, berbudi bahasa dan sangat friendly. Tempatnya juga amat bersih sekali.

Oh ya, total keseluruhan kos yang kami keluarkan termasuk tiket, hotel, kereta, souvenir, makan minum kat sana dan tiket masuk tempat lebih kurang:

RM4800.00

Takda kurang, takda tambah. Apa yang penting, selalulah usha tiket murah kat AirAsia. Insya Allah ada rezeki, boleh dapat pebelanjaan semurah yang di atas ni.

Sebenarnya boleh je lebih bajet berbanding ni. Tapi dah nama pun honeymoon. Kami pun tak naklah nak ambil pendekatan cheapstake sangat sampai limit rasa seronok kat sana.

Ini semua bergantung kemampuan dan kehendak masing-masing.

Selamat bercuti dan berjalan-jalan di Perth daripada kami, Mufarwa dan Ainnur!

Cara memilih Hotel yang betul ketika travel

Top