12 Kesilapan Saya Semasa Kembara Solo, Trip Luzon Island Philippines ( Metro Manila – Vigan City – Tagaytay )

Nukilan : Dini Syarif

Penulisan ini sangat panjang dan kisah saya ini agak menyedihkan. Pengalaman kembara saya kali ini antara yang paling mengecewakan. Walaubagaimanapun, saya ambil iktibar dan tidak serik walaupun perlu ke sini sekali lagi. Semoga jadi pengajaran untuk semua.

—–

INTIPATI

A. PENGENALAN
B. ITINERARI
C. TIPS DAN KESIMPULAN

—————

A. PENGENALAN

Saya telah bercuti di Luzon, Filipina pada 23-27 Ogos 18. Seperti biasa, saya tidak akan kekal pada satu tempat. Kembara saya melibatkan empat lokasi.

1. Malate, Metro Manila.
Lokasi yang agak hampir dengan kompleks bersejarah Intramuros dan bermacam gereja dan bangunan lama.

2. Vigan City, Ilocos Region.
Bandar yang terletak di Utara Luzon ini terkenal sekadar ‘pekan koboi’. Sekitar 7 hingga 10 jam perjalanan dari Metro Manila.

3. Quezon City, Metro Manila.
Bandar utama yang dihuni oleh ramai penduduk. Gelandangan ada di mana-mana. Metro Manila terbahagi kepada empat: Manila City, Makati City, Malate dan Quezon City. Quezon City antara yang paling padat dan sibuk.

4. Tagaytay, Cavite.
Terletak di Selatan Luzon. Terkenal dengan ‘Taal Volcano’ dan ‘Taal Volcano’. Perjalanan dari Metro Manila memakan masa 2 jam.

5. Malate, Metro Manila.
Transit sebentar di sini sementara menunggu penerbangan pulang di waktu tengah malam.

—————

B. ITINERARI

Hari Pertama (23 Ogos 18 – Khamis) / Malate, Metro Manila.

– 0200H – Bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu menaiki Cebu Air Pacific.

– 0400H – Tiba di Nino Aquino International Airport. Terus ke hotel murah Stay Malate untuk berehat. Menurut pemandu Grab yang menjemput saya, Malate adalah kawasan ‘bersuka ria’ kerana banyak kelab malam di situ, selain dari kaya dengan kegiatan pelacuran.

– Sekitar 0900H bergerak ke Intramuros

KESILAPAN #1 – Gagal orientasi peta dengan betul!
Disebabkan untuk elakkan kesesakan lalu lintas, saya pun berjalan kaki. Ingat ke Intramuros adalah dalam ‘walking distance’, rupanya jauh. Sekitar 45 minit juga berjalan kaki.

KESILAPAN #2 – Percaya bulat-bulat pada pemandu beca!
Setibanya di Intramuros, saya sudah ‘set’ dalam kepala untuk tidak ambil beca. Entah macam mana tiba-tiba rasa simpati, saya ambil juga untuk tempoh 30 minit dengan bayaran PHP350. Sehabis sesi, dia minya PHP700 dengan alasan caj asing untuk beca dan pemandu. Saya malas bergaduh, tapi minta tawar dapatlah PHP500. Dicadangkan untuk ambil tiket beca di kaunter yang disediakan, berbanding ‘ulat’.

KESILAPAN #3 – Saya terus hilang mood!
Disebabkan kena tipu, padahal bukan banyak mana pun saya terus hilang mood dan balik ke hotel. Walaupun sudah sampai ke Intramuros, satu foto pun tidak saya ambil. Saya mahu balik tidur dan bersiap untuk ambil bas ke Vigan City, Ilocos Norte malam nanti. Sepatutnya saya nikmati juga Intramuros sebab alang-alang sudah sampai kan.

– Sekitar 1800H saya bergerak ke Cubao Bus Terminal. Bus saya dijangka jam 2300H.

KESILAPAN #4 – Saya tersilap pilih waktu keluar!
Masa yang dipilih semasa orang pulang dari kerja. Jalan raya sesak tahap teruk! Saya guna aplikasi Grab, tiga orang pemandu batalkan sebab terlalu sesak. Saya terpaksa gunakan LRT, juga sangat sesak. Bayangkan, orang sampai terpaksa beratur dekat tangga jejantas menunggu giliran untuk beli tiket. Selepas sejam setengah, baru saya dapat naik LRT. Fuh. Kesesakan di Metro Manila jangan diambil ringan beb!

– 2300H – Menaiki bas ke Vigan City, Ilocos Region. Mengharap ada sinar menanti hari esok setelah kelam pada hari ini. Tiket bas berharga PHP580 untuk perjalanan selama 7 jam.

—–

Hari Kedua (24 Ogos 18 – Jumaat) / Vigan City, Ilocos Norte dan Quezon City, Metro Manila.

– 0430H – Saya terjaga dari lena dalam bas. Hujan lebat mengguyur di luar sana. Tergerak hati saya untuk semak ramalan cuaca di telefon — HUJAN LEBAT SEPANJANG HARI!

KESILAPAN #5. Degil kerana masih mahu ke Utara Luzon!
Sebelum kembara ini, saya ada buat kajian berkenaan cuaca di Luzon. Kebanyakan maklumat saya perolehi dari TripAdvisor. Saya dimaklumkan bahawa Filipina menghadapi musim hujan dari Jun hingga September, khususnya di Luzon. Lebih khusus di Utara Luzon. Saya dinasihatkan untuk ke Selatan Luzon sahaja, tetapi saya tetap berdegil. Maklumat ini saya perolehi dalam bulan Mei 2018, jadi saya masih berharap akan berlaku ‘keajaiban’.

KESILAPAN #6. Tidak buat semakan cuaca dalam masa terdekat!
Sepatutnya sebelum saya muktamadkan itinerari saya, saya perlu semak keadaan cuaca. Ramalan cuaca dijangkan lebih tepat apabila waktu kian menghampiri. Tapi saya lupa untuk semak!

– 0500H – Tiba di Vigan City Bus Station. Hujan tetap lebat tapi makin reda. Saya pun berjalan kaki ke hotel dalam hujan, terserempak dengan penduduk di sana. Katanya, memang sudah dua minggu cuaca macam ini. Hujan lebat.

Adoi!

– 0630H – Saya malas pening-pening, saya beli tiket bas lain untuk terus pulang ke Quezon City, padahal saya sudah beli ‘online ticket’ malam nanti. Saya terfikir, susahnya untuk berkelana di Vigan City dengan cuaca macam ini. Harga tiket bas adalah sama PHP580.

KESILAPAN #7. Gopoh dan tidak sabar!
Disebabkan menggelabah puyuh dengan keadaan cuaca, saya ambil keputusan untuk beli tiket lain sahaja. Sedangkan tiket bas untuk malam itu sudah pun dibeli, dan hotel di Vigan City sudah pun ditempah. Jumlah kerugian mencecah RM100. Padahal boleh sahaja saya tunggu sampai malam. Andai cuaca makin baik, itu rezeki buat saya. Jika tetap hujan, bermakna bukan rezeki saya.

– 0700H – Bas bergerak. Sepanjang perjalanan hujan masih lebat mencurah-curah. Di pertengahan jalan, banjir meliputi kebanyakan kawasan. Nasib baik bas masih boleh berjalan tanpa gangguan.

Namun walaupun dijanjikan perjalanan waktu siang memakan masa hanya 8 jam, rupa-rupanya 10 jam lebih beb! Kematu punggung. Adeh!

– 1830H – Tiba di Terminal Bas Pasay. Misi mencari hotel. Sesat pula. Dalam masa yang sama, Google Maps saya gagal berfungsi. Saya tidak naik Grab kerana kawasan tersebut sesak teruk.



Booking.com

KESILAPAN #8. Tidak pastikan aplikasi dalam telefon pintar berfungsi!
Saya sesat hampir sejam mencari hotel. Kebetulan Google Maps saya pula tidak berfungsi. Saya juga tidak ada ‘back up’ Waze. Sudahnya saya banyak menggunakan ‘kompas rakyat’ iaitu dengan bertanyakan penduduk di sana. Ingat ke dapat selesaikan masalah, rupanya lagi teruk.

KESILAPAN #9. Jangan terlalu mudah percaya kompas rakyat!
Memandangkan saya sudah sesat dan tidak boleh guna Google Maps, saya ambil inisiatif untuk bertanya dengan penduduk di situ. Sudahnya, jauh lebih sesat. Tiga kali saya melintas jejantas. Kedudukan hotel saya agak tersembunyi menyebabkan kewujudannya tidak begitu disedari. Terpaksa juga saya berikhtiar untuk mencari sendiri.

– 1930H – Akhirnya saya jumpa juga Royale Parc Inn and Suites yang terletak di Annapolis, Quezon City. Malam itu saya sekadar berehat. Hampir sahaja saya putus asa dengan kembara ini, semoga kesudahannya menggembirakan.

—–

Hari Ketiga (25 Ogos 18 – Sabtu) / Quezon City, Metro Manila.

– Saya berpindah ke Winter Hotel, juga terletak di Cubao, Quezon City. Untuk hari ini, saya sekadar berjalan-jalan di bandar demi melihat keadaan masyarakat di sana. Terdapat beberapa gedung beli belah di kawasan sekitar seperti SM Cubao dan Farmers Plaza.

– 1700H – Saya membeli belah cenderahati di Greenhills Shopping Centre yang terletak di San Juan. Banyak pilihan barangan di sini dengan harga yang berpatutan. Kompleks membeli belah ini begitu luas; sangat selesa dan ‘highly recommended’. Di sini juga terdapat banyak restoran yang ada pengesahan ‘Halal’.

—–

Hari Keempat (26 Ogos 18 – Ahad) / Tagaytay, Cavite.

– 1000H – Saya dijadualkan untuk menaiki bas ke Tagaytay, Cavite yang terletak di Selatan Luzon. Tidak jauh mana pun, sekitar 2 jam perjalanan.

Tetapi tidak disangka-sangka, pagi ini mimpi ngeri bertandang lagi. Saya telah tersilap stesen bas. Bukan sekali, tetapi lima kali.

Saya ke Five Star Bus Terminal, disuruhnya ke San Agustin Bus Terminal.

Silap, kemudian disuruhnya ke Ali Mall Bus Terminal.

Silap lagi, kemudian disuruhnya ke Pasay Bus Station.

Lalu akhir sekali, disuruhnya ke Jac Liner Buendia Terminal. Lega sebab akhirnya jumpa juga, walaupun saya terpaksa bazirkan PHP674 semata-mata untuk mencari stesen bas yang betul.

KESILAPAN #10. Buat kajian betul-betul!
Saya telah menggunakan aplikasi Rome2rio untuk melihat opsyen pengangkutan meliputi lokasi stesen bas. Ternyata aplikasi tersebut tidak tepat dan seharusnya kajian lebih mendalam dibuat dan jangan hanya berpandukan aplikasi tersebut semata-mata.

KESILAPAN #11. Sekali lagi, jangan terlalu mudah percaya kompas rakyat!
Disebabkan berpegang pada jawapan yang diberi oleh penduduk setempat, sesat teruk saya. Bayangkan, tersilap sampai lima stesen. Masa itu hanya Tuhan yang tahu betapa geramnya saya, tetapi saya terpaksa juga habiskan pengembaraan saya.

KESILAPAN #12. Kalau kejar masa, jangan guna GrabShare.
Dalam perjalanan menuju ke salah buat stesen bas, saya telah menggunakan GrabShare untuk jimat sebanyak PHP120. Diringkaskan cerita, penumpang pertama yang diturunkan sebelum saya telah tertinggal dompet. Disuruhnya pemandu tersebut untuk tunggu sebentar. 5 minit menunggu, saya boleh sabar lagi. 10 minit menunggu, saya mula marah-mula. 15 minit menunggu, aaya akhirnya maki hamun. Rupa-rupanya sampai sudah penumpang tidak datang kembali untuk buat bayaran. Eloklah, saya kena menunggu dan pemandu pula tertipu.

– 1230H – Akhirnya saya berjaya naik bas menuju ke Tagaytay. Phew! Tiket bas hanya PHP120.

– 1430H – Tiba di Tagaytay. Cuacanya agak sejuk seperti di Cameron Highland kerana kawasannya di tanah tinggi. Langsung saya mengambil tuk tuk untuk ke tempat penginapan iaitu La Gracia Apartelle.

– 1600H – Rehat sebentar sebelum terus ke ‘Taal Lake’ dan ‘Taal Volcano’.

Taal Volcano merupakan gunung berapi yang kedua teraktif di Filipina. Rekod letusan adalah sebanyak 33 kali dengan letusan terburuk pada tahun 1754.

Untuk ke Taal Volcano, anda perlu merentasi Taal Lake. Kemudian anda akan bertemu dengan penduduk kampung di sana yang amat peramah.

Kos mendaki agak mahal kerana saya berseorangan. Kos keseluruhan PHP2600;

– PHP2000 untuk sewa bot
– PHP500 untuk penunjuk jalan
– PHP100 untuk tiket masuk

Kos di atas sepatutnya boleh dikongsikan bersama 7 orang. Ada juga pilihan untuk berkuda, tetapi saya memilih untuk berjalan kaki.

– 1900H – Kembali ke tempat penginapan dan berehat.

—–

Hari Kelima (27 Ogos 18 – Isnin) / Malate, Metro Manila.

– 1000H – Menaiki bas dari Tagaytay untuk kembali ke Malate. Sebagai lokasi transit sebelum penerbangan pulang ke Kota Kinabalu tengah malam nanti.

– 1200H – Tiba di Malate. Langsung ke Sogo Hotel Quirinio untuk menginap selama enam jam.

Semasa di Farmers Plaza pada dua hari lepas, saya ada menegur seorang Filipino yang berasal dari Zamboanga; sekadar bertanya tempat yang untuk membeli cenderahati. Memang tepat keputusan saya untuk berbual dengannya, kerana beliau amat teruja untuk berkenalan dengan rakyat Malaysia.

Bila bersedia untuk menemani saya berjalan-jalan ke Intramuros setelah saya menceritakan insiden yang berlaku pada hari pertama yakni ditipu oleh pemandu beca. Tanpa sebarang bayaran, sekadar meraikan seorang pengembara. Maka temujanjinya adalah petang ini.

– 1300H – Melawat Intramuros dan sekitarnya.

Intramuros yang juga dikenali sebagai ‘Walled City’ adalah kompleks bersejarah yang dibina semasa era penjajahan Sepanyol. Kota ini merupakan pusat pengukuhan ekonomi, keagamaan dan juga pendidikan.

Pembinaan bangunan ini telah bermula seawal abad ke-16. Fort Santiago yang merupakan sebahagian dari Intramuros telah diisytiharkan sebagai National Historical Landmark pada tahun 1951.

Selain Fort Santiago, saya juga sempat melawat San Agustin Church, Manila Cathedral dan lain-lain.

– 1700H – Melawat Rizal Park, taman awam yang sentiasa kaya dengan pengunjung. Dibina sebagai sebagai tanda penghormatan buat para pejuang pembebasan Filipina dari cengkaman penjajah.

– 1800H – Pulang ke hotel. Serius kaki pun tak rasa sudah sebab jalan kaki selama 5 jam. Bersiap untuk ke penerbangan pulang.

– 1900H – Bergerak ke Nino Aquino International Airport. Tiba di sana agak awal, menanti penerbangan jam 2330H.

– 2330H – Sekali lagi menaiki pesawat Cebu Air Pacific. Tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu jam 0200H.

—————

C. TIPS DAN KESIMPULAN

1. CUACA

Jika anda ingin bercuti di Filipina, perlu dipertimbangkan juga cuaca semasa percutian memandangkan di sana terdapat musim monsun. Sepanjang monsun, maka musim tengkujuh menanti anda, termasuk di Luzon. Kelak anda mungkin menerima nasib seperti saya yang bercuti di Luzon dalam bulan Ogos.

Waktu terbaik untuk melawat Luzon adalah di antara November hingga Mei. Jun hingga Oktober adalah musim hujan. Namun jika anda ke sana juga dalam tempoh monsun, anda boleh ke Selatan Luzon seperti di Tagaytay dan Legazpi. Elakkan ke Utara Luzon seperti Vigan City dan Sagada kerana kelak anda akan berhadapan dengan hujan.

—–

2. KESELAMATAN

Di antara perkara yang menjadi kerisauan saya adalah isu keselamatan di Luzon, khususnya Metro Manila. Apabila saya utarakan perkara ini di internet, saya mendapat reaksi yang pelbagai. Kebanyakan respon adalah negatif apabila mengaitkan Filipina dengan kegiatan kartel, dan ada juga yang mengatakan bahawa penggunaan pistol adalah dibenarkan di sana.

Benar, undang-undang berkaitan penggunaan senjata di kalangan masyarakat awam di Filipina adalah jauh lebih liberal berbanding undang-undang Malaysia. Namun mereka tetap mempunyai garis panduan yang perlu dipatuhi sebelum memiliki pistol.

Apabila saya berada di sana, ternyata Metro Manila adalah bandar yang selamat. Namun, tidak bermakna aspek sekuriti perlu dipandang enteng. Pengembara, khususnya yang bergerak solo tetap perlu berhati-hati. Boleh saya katakan bahawa Metro Manila sama sahaja kondisinya dengan Bangkok, Jakarta, Phnom Penh, Ho Chi Minh City malah Kuala Lumpur dari aspek keselamatan.

—–

3. MASYARAKAT

Rata-rata masyarakat di sana boleh berbahasa Inggeris dengan baik. Bermakna, tidak ada masalah halangan komunikasi di sana (communication barrier). Maka amat mudah untuk bertanya sebarang soalan kepada mereka.

Dari aspek hospitaliti, rakyat Filipina boleh dikatakan tidak lokek untuk membantu. Bukan setakat bertanya arah malah minta bantuan untuk tangkap gambar juga mudah. Maklumlah, berkelana sendirian kan.

Mereka juga agak teruja apabila dimaklumkan bahawa saya dari Malaysia. Mungkin kerana Malaysia adalah di antara negara yang berprestasi cemerlang di kalangan negara-negara Asia Tenggara. Ada juga di kalangan rakyat mereka yang beragama Islam gembira apabila mengetahui bahawa saya juga adalah Muslim.

Namun, tetaplah berhati-hati apabila mendapatkan jawapan dari mereka. Tidak semua jawapan yang diberi adalah betul, walaupun mereka berusaha sedaya upaya untuk membantu.

Sebagai tambahan; Quezon City agak kotor dan bau hancing ada di mana-mana. Di sana juga merata-rata gelandangan tidur berlantaikan bumi dan berbumbungkan angkasa. Maka tingkatkan kewaspadaan anda khususnya jika berjalan-jalan dalam detik lewat malam.

—–

4. LOKASI MENARIK

Daya penarik Luzon adalah lokasi yang kaya dengan nilai warisan dan sejarah, di samping kehijauan alamnya.

Di kawasan Metro Manila yang saya telusuri, terdapat di sana sini bangunan yang bersejarah meliputi kota lama, kubu perang, rumah ibadah dan sebagainya. Namun begitu, seorang pemandu Grab telah menyangka saya tiba di Metro Manila atas urusan kerja, kerana kata beliau; “Manila is not a place for vacation.”

Vigan City juga terkenal sebagai lokasi yang bersejarah. Terdapat banyak bangunan warisan bercirikan ‘koboi’. Lokasi ini amat berbaloi untuk dilawati, walaupun terpaksa berkelana ke Utara Luzon dalam tempoh yang agak lama. Alangkah ruginya saya apabila cuaca hujan menjadi penghalang untuk saya menikmati ‘pekan koboi’ tersebut.

Tagaytay pula menjanjikan suasana yang lebih tenang dan bebas dari hiruk pikuk kehidupan kota. Segalanya di sini adalah tentang alam semulajadi yang sememangnya sesuai untuk para pencinta alam.

Selain dari daerah yang berjaya, atau hampir berjaya saya lawati; cadangan lokasi yang lain adalah Sagada, Batangas dan Legazpi. Ketiga-tiga tempat ini menjanjikan panorama yang indah nian.

—–

5. KOS SARA HIDUP

Belanja di sana amat murah. Harga makanan dan barangan agak rendah. Cuma di kawasan yang lebih membangun seperti di Metro Manila, harganya lebih mahal namun tetap dikira sebagai murah.

—–

6. TRAFIK DAN PENGANGKUTAN

Aliran trafik di sana tersangat teruk, khususnya ketika waktu kemuncak. Jujurnya untuk jarak sehingga 2 kilometer, saya memilih untuk berjalan kaki berbanding menaiki kenderaan.

Untuk perjalanan jarak jauh ke luar dari Metro Manila, boleh gunakan bas. Tiket bas boleh dibeli secara ‘online’ di www.pinoytravel.com.ph atau www.phbus.com/partas-bus

Untuk perjalanan jarak dekat, Grab adalaj pilihan yang paling mudah. Untuk lebih jimat, boleh juga gunakan ‘jeepney’. LRT pun ada, tetapi penggunaan semasa tempoh kemuncak adalah tidak digalakkan sama sekali. Terlalu sesak!

—–

7. TELEKOMUNIKASI

Harga kad sim di lapangan terbang agak mahal. Mencecah PHP600. Dapatkan harga yang jauh lebih murah di 7-Eleven sekitar PHP180.

—–

8. MAKANAN

Restoran yang ada pengesahan ‘Halal’ agak sukar dicari. Tetapi pilihan restoran berstatus ‘Halal’ mudah didapati di Greenhills Shopping Centre.

—————

Kisah kembara saya ke Luzon mungkin kurang enak didengari, tetapi jika ditanya adakah saya akan kembali ke Luzon suatu hari nanti.

Maka jawapan saya adalah “Ya!”. Kerana Luzon menyediakan 1001 kenangan untuk dinikmati, dan kepulauan itu terlalu luas dan perlu sepenuhnya dijejaki.

Penulis juga selalu berkongsi tulisan beliau di Facebooknya Dini Syarif

Cara memilih Hotel yang betul ketika travel

Leave a Reply

Top